Asal Usul Nama Kampung Sungai Kut Muara Dalat.
Pada masa dahulu Kampung Sungai Kut tidak mempunyai sungai. Sungai yang ada terlalu kecil dan tidak bersambung antara satu sama lain. Tidak ada perahu yang boleh melalui sungai terbabit. Majoriti penduduk juga adalah nelayan dan petani. Penduduk kampung yang berhampiran seperti kampung Kekan juga merupakan masyarakat Melanau. Mereka bergantung hidup dengan bertani dan menangkap ikan. Masyarakat Melanau dahulu kala juga mengamalkan cara hidup seperti kaum Iban. Mereka mengamalkan amalan pancung kepala sesiapa sahaja yang dianggap musuh. Menurut mitos, orang yang berjaya memanggal kepala lawan paling banyak akan dianggap wira,orang yang gagah perkasa dan mempunyai kuasa sebagai ketua.
Kesinambungan daripada peristiwa tersebut, orang Melanau dari hulu Batang Oya iaitu orang Melanau di Kampung Kekan tidak dapat ke hilir sungai untuk menangkap ikan. Jika mereka melepasi sempadan kepala mereka akan dipenggal oleh orang Melanau di muara Batang Oya kerana mereka dianggap sebagai penceroboh. Maka dengan ini, penghulu kampung Kekan pada ketika itu yang dikenali dengan nama Jilag telah mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini. Jilang telah meneroka kawasan sekitar. Beliau dan orang-orangnya telah mengheret perahu di atas tanah sepanjang pengembaraan mereka. Mereka akhirnya telah menjumpai sebuah sungai yang boleh menghubungkan mereka ke Batang Igan. Di Batang Igan mereka bebas untuk menangkap ikan dan telah menjadi lubuk pencarian atau lubuk rezeki mereka.
Semenjak dari hari itu, ramai penduduk kampung di hilir Batang Oya telah mengikuti jejak langkah Jilang dan orang-orangnya. Dari tahun ke tahun laluan yang mereka lalui telah menjadi satu parit kecil. Perkara ini adalah disebabkab oleh kesan benda berat yang diheret di permukaan tanah. Mereka telah mengheret perahu dan peralatan menangkap ikan ketika berjalan menuju ke Batang Igan. Parit kecil itu kemudiannya terhakis sedikit demi sedikit dan telah membentuk sebuah sungai kecil dan mampu menjadi laluan perahu sederhana besar.
Terusan ini menjadi lebih sibuk saban tahun. Kelebaran sungai dan kedalaman juga bertambah. Maka dengan ini panduduk setempat menamakan terusan tersebut sebagai sungai Makkah. Sungai Makkah menjadi sungai yang amat penting kerana sungai ini juga merupakan jalan pintas untuk ke bahagian lain seperti Kampung Bungan, Rasau, Igan dan Sibu. Dengan kemunculan era teknologi pada awal zaman moden kapal korek telah dibawa ke Sungai Makkah. Sungai itu telah dikorek untuk mendalami dasar sungai dan melebarkan sungai. Dengan ini muncullah nama baru bagi sungai itu. Akhirnya masyarakat setempat menamakan sungai tersebut sebagai “Sungai Kut”. Dalam bahasa melanau “kikut” merujuk kepada korek. Maka, nama Kampung Sungai Kut Muara diperolehi bersempena sungai tersebut dikorek dan lokasi kampung yang terletak di muara sungai.