Saturday, August 15, 2009


Friday, August 7, 2009

BALAU, TAJUK & SIET

Balau merujuk kepada pokok mulung dalam bahasa Melayu. Balau merupakan sejenis pokok yang kaya dengan kanji. Balau tumbuh subur di tanah hitam atau tanah paya gambut. Kebanyakan masyrakat Melanau mengusahakan balau sebagai sumbar pendapatan utama mereka. Balau mempunyai nilai komersial yang amat bagus dan stabil di sesetengah tempat. Misalnya di Kampung Sungai Kut Muara Dalat, harga sekerat balau boleh mencecah rm 6. Harga balau adalah bergantung kepada keadaan ekonomi tempatan. Kadang-kadang harga sekerat balau boleh melambung tinggi dan kadang-kadang ia boleh jatuh merudum. Pengusaha balau lazimnya mempunyai tanah sendiri. Jangka hayat balau untuk menjadi matang ialah sekitar 10 tahun. Sebelum tempoh matang, balau tidak boleh ditebang kerana kandungan kaji yang terdapat di dalamnya tidak begitu banyak. Namun demikian pucuk balau yang masih muda boleh didapati. pucuk balau atau "tajuk" dalam bahasa Melanau amat enak dimakan. Pelbagai juadah boleh disedikan seperti pucuk masak kari, sup dan sebagainya. Rasanya yang manis pasti akan memikat sesiapa sahaja yang memakannya. Setelah balau ditebang, bahagian pangkalnya akan dibiarkan mereput. Dalam proses pereputan, sejenis ulat iaitu "siet" atau ulat mulung akan menghuni mulung yang mereput itu. Siet amat enak rasanya dan ia telah dikomersialkan. Harganya adalah bergantung kepada penjual. Di sesetengah tempat harga seekor siet boleh mencecah rm 0.50 seekor. Siet ini akan menguraikan kandungan balau tersebut dan setelah beberapa minggu balau itu akan habis diuraikan. Balau itu akan menjadi tanah hitam dan subur dijadikan sebagai tanah untuk pertanian. Siet yang berada di dalam balau yang mereput itu juga akan bertukar menjadi kumbang atau "buyun" dalam bahasa Melanau. Kitar hidup siet aalah sama seperti kitar hidup rama-rama. Begitulah sedikit sebanyak tentang balau , tajuk, dan siet.

Wednesday, June 24, 2009

Asal Usul Nama Kampung Sungai Kut Muara Dalat.

Pada masa dahulu Kampung Sungai Kut tidak mempunyai sungai. Sungai yang ada terlalu kecil dan tidak bersambung antara satu sama lain. Tidak ada perahu yang boleh melalui sungai terbabit. Majoriti penduduk juga adalah nelayan dan petani. Penduduk kampung yang berhampiran seperti kampung Kekan juga merupakan masyarakat Melanau. Mereka bergantung hidup dengan bertani dan menangkap ikan. Masyarakat Melanau dahulu kala juga mengamalkan cara hidup seperti kaum Iban. Mereka mengamalkan amalan pancung kepala sesiapa sahaja yang dianggap musuh. Menurut mitos, orang yang berjaya memanggal kepala lawan paling banyak akan dianggap wira,orang yang gagah perkasa dan mempunyai kuasa sebagai ketua.

Kesinambungan daripada peristiwa tersebut, orang Melanau dari hulu Batang Oya iaitu orang Melanau di Kampung Kekan tidak dapat ke hilir sungai untuk menangkap ikan. Jika mereka melepasi sempadan kepala mereka akan dipenggal oleh orang Melanau di muara Batang Oya kerana mereka dianggap sebagai penceroboh. Maka dengan ini, penghulu kampung Kekan pada ketika itu yang dikenali dengan nama Jilag telah mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini. Jilang telah meneroka kawasan sekitar. Beliau dan orang-orangnya telah mengheret perahu di atas tanah sepanjang pengembaraan mereka. Mereka akhirnya telah menjumpai sebuah sungai yang boleh menghubungkan mereka ke Batang Igan. Di Batang Igan mereka bebas untuk menangkap ikan dan telah menjadi lubuk pencarian atau lubuk rezeki mereka.

Semenjak dari hari itu, ramai penduduk kampung di hilir Batang Oya telah mengikuti jejak langkah Jilang dan orang-orangnya. Dari tahun ke tahun laluan yang mereka lalui telah menjadi satu parit kecil. Perkara ini adalah disebabkab oleh kesan benda berat yang diheret di permukaan tanah. Mereka telah mengheret perahu dan peralatan menangkap ikan ketika berjalan menuju ke Batang Igan. Parit kecil itu kemudiannya terhakis sedikit demi sedikit dan telah membentuk sebuah sungai kecil dan mampu menjadi laluan perahu sederhana besar.

Terusan ini menjadi lebih sibuk saban tahun. Kelebaran sungai dan kedalaman juga bertambah. Maka dengan ini panduduk setempat menamakan terusan tersebut sebagai sungai Makkah. Sungai Makkah menjadi sungai yang amat penting kerana sungai ini juga merupakan jalan pintas untuk ke bahagian lain seperti Kampung Bungan, Rasau, Igan dan Sibu. Dengan kemunculan era teknologi pada awal zaman moden kapal korek telah dibawa ke Sungai Makkah. Sungai itu telah dikorek untuk mendalami dasar sungai dan melebarkan sungai. Dengan ini muncullah nama baru bagi sungai itu. Akhirnya masyarakat setempat menamakan sungai tersebut sebagai “Sungai Kut”. Dalam bahasa melanau “kikut” merujuk kepada korek. Maka, nama Kampung Sungai Kut Muara diperolehi bersempena sungai tersebut dikorek dan lokasi kampung yang terletak di muara sungai.

pesta kaul 09

Tuesday, June 23, 2009

kaul sungai kut muara 02.06.09

Masyarakat melanau

Pada zaman dahulu kehidupan orang Melanau adalah sama seperti suku kaum Iban, Orang Melanau tinggal di dalam rumah panjang (yang dibina dengan tinggi). Namun, masyarakat Melanau pada masa kini telah mengubah cara kehidupan mereka dengan tinggal di dalam rumah kampung yang mengikut corak orang Melayu. Masyarakat Melanau yang tidak menganuti mana-mana agama mempercayai makhluk ghaib yang dipanggil Ipok. Suku etnik Melanau berkumpul di persisiran pantai seperti kawasan lembah utara Sungai Rajang, Igan, Mukah, Oya, dan Bintulu. Masyarakat terawal yang menetap di Mukah Sarawak.

Kegiatan ekonomi

Kegiatan ekonomi utama masyarakat Melanau adalah menangkap hasil laut dan menjadi petani padi sawah bagi sebahagian kecil daripada mereka yang tinggl di pendalaman. Selain ini, perusahaan sagu juga diusahakan oleh kaum ini. Pokok sagu tumbuh di kawasan yang berpaya. Pokok Sagu hanya boleh ditebang selepas sepuluh tahun. Tepung sagu atau lemantak diperoleh daripada isi pokok sagu yang dipanggil ripo. Ripo dijemur sehingga kering dan diproses sebelum dijadikan lemantak, iaitu tepung sagu. Sarawak merupakan pengeksport sagu yang terbesar di Malaysia.

Budaya

Perayaan Kaul disambut oleh orang Melanau dengan meriah pada bulan April setiap tahun. Namun demikian perayaan Kaul ini disambut pada bulan yang berbeza mengikut kampung. Bagi kampung Sungai Kut muara Dalat, ia disambut pada awal bulan Jun. Perayaan ini diadakan untuk menjamu ipok yang mengawal laut. Tujuannya untuk memperoleh tangkapan yang memuaskan dan selamat semasa berada di laut serta mengelakkan pelbagai wabak dan penyakit. Perayaan ini melambangkan berakhirnya musim hujan dan kedatangan atau permulaan musim menangkap ikan. Dalam hari ini, serahang akan disediakan untuk menjamu ipok. Serahang adalah diperbuat daripada daun buluh dan daun nipah dengan memasukkan bertih, telur ayam, pulut kuning, kirai atau rokok daun, dan sirih ke dalamnya.

Pesta kaul Kampung Sungai Kut Muara

Pesta kaul Kampung Sungai Kut Muara disambut pada bulan Jun setiap tahun. Pada tahun ini ia disambut pada 02.06.09. Semasa menyambut ambang Pesta Kaul ini, pelbagai aktivit menarik telah dianjurkan. Penglibatan warga kampung yang aktif amat membanggakan dan telah membuahkan hasil yang cukup menarik. Antara aktiviti yang menarik adalah pertandingan bola sepak lima sebelah. Remaja kampung yang berkebolehan mampu menonjolkan diri dengan aktiviti ini. Bakat terpendam masing-masing ditonjolkan. Selain itu aktiviti yang cukup dinanti-nantikan segenap warga kampung adalah pertandingan karaoke. Pertandingan karaoke ini telah disambut meriah. Penyertaan juga tidak terhad kepada penduduk kampung sahaja, malahan ia juga turut menggalakkan penyertaan penduduk kampung yang berdekatan. Pada hari pesta pula, serahang dihantar ke tiga lokasi. Lokasi yang pertama adalah terletak di hujng kampung di dalam Sungai Kut, lokasi yang kedua adalah di muara sungai, dan lokasi yang ketiga di hujung kampung di Batang igan. Ia merupakan simbolik kepada upacara pemujaan Ipok. Penglibatan penduduk kampung dalam menyertai perarakan serahang ini amat penting dalam memeriahkan suasana. Keunikan budaya ini merupakan identiti yang perlu dipertahankan dan perlu diteruskan untuk generasi pada masa hadapan.